AGENDANASIONAL

Undi 18: Kerajaan putuskan tidak rayu keputusan mahkamah

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kerajaan persekutuan tidak akan mengemukakan rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik yang perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan keputusan itu dibuat jemaah menteri menerusi mesyuarat pada 10 September lalu.

“Kerajaan persekutuan akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan merintis usaha terbaik bagi memastikan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik di negara ini berupaya dilaksanakan lebih awal daripada jadual asal.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga komited melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini selaras keputusan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Gobind Singh Deo (PAKATAN-Puchong) yang bertanya status pelaksanaan Undi 18 dan langkah yang akan diambil kerajaan untuk melaksanakannya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 3 September, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.


Pengarang :