Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

MBSA tawar diskaun saman parkir sebulan, mulai 1 Oktober

SHAH ALAM, 29 SEPT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan pengurangan kadar kompaun tempat letak kereta sebanyak RM10 selama sebulan mulai 1 Oktober.

Datuk Bandarnya Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata tawaran itu dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun bandar raya Shah Alam yang ke-21.

“Kempen ini adalah inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan orang awam menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.

“Kita harap masyarakat mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan itu dalam tempoh yang diberikan,” katanya pada sidang media sempena inisiatif ulang tahun bandar raya Shah Alam ke-21 di Wisma MBSA di sini hari ini.

Orang ramai boleh membuat bayaran menerusi saluran JomPAY dengan hanya memasukkan kod bil 6727, nombor kompaun, nombor telefon dan jumlah bayaran atau melalui Maybank2U dan kaunter Bank Muamalat.

Pertanyaan lanjut boleh hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5522 2882 atau 03-5510 5133 sambungan 1757, 1658, 1540 dan 1521 atau layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my.


Pengarang :