Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika berekreasi di Taman Tasik Shah Alam yang kembali dibuka kepada awam pada 22 Ogos lalu ketika tinjauan pada 28 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MDHS akan tutup kawasan rekreasi jika tidak patuh SOP

SHAH ALAM, 18 SEPT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memberi amaran tidak teragak-agak akan menutup semua kawasan rekreasi sekiranya pengunjung tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Yang Dipertuanya berkata sejak Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Jumaat lepas kawasan rekreasi di luar bandar sesak dengan kehadiran luar biasa orang ramai.

Mohd Hasry Nor Mohd berkata tinjauan dilakukan di beberapa kawasan mendapati orang ramai mula alpa dengan pematuhan SOP apabila penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka mula diabaikan.

“Kami memahami perasaan dan keinginan orang awam untuk keluar bebas setelah lama dikurung bersama keluarga menjalankan aktiviti harian seperti sebelum ini tetapi diharap semua bekerjasama dengan mematuhi garis panduan serta SOP demi keselamatan dan kesihatan kita.

“Aspek penguatkuasaan akan diperketatkan terutamanya di kawasan pelancongan dan rekreasi pada hujung minggu. Pihak berkuasa juga akan membuat pemantauan dan mengambil tindakan sekiranya pengunjung gagal mematuhi peraturan termasuk menutup kawasan berkenaan,” katanya menerusi Facebook.

Mohd Hasry berkata lebih mengecewakan kawasan rekreasi turut menjadi kotor apabila pengunjung tidak menjaga kebersihan dengan meletakkan sampah sarap di celah pokok, batu serta membuang sisa makanan ke dalam sungai.

“Sikap bertanggungjawab dalam mematuhi SOP dan menjaga kebersihan perlu ditanam dalam diri sendiri dan tidak perlu diingatkan lagi kerana rakyat sudah sedia maklum dengan langkah penjagaan diri dalam hidup dengan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, MDHS berkongsi 13 kawasan rekreasi di bawah seliaannya iaitu Air Terjun Serendah; Sungai Inki, Kalumpang; Hutan Pelajaran Sungai Kedondong; Kolam Air Panas Kerling; Kolam Air Panas Kuala Kubu Bharu dan Kolam Air Panas Hulu Tamu, Batang Kali.

Selain Air Terjun Sungai Chiling; Air Terjun Semangkok; Air Terjun Sungai Tinggi; Air Terjun Pertak; Alor Lempah; Sungai Selangor dan Air Terjun Sungai Chiling.


Pengarang :