Antara persembahan menarik pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya pada 16 September 2021. Foto BERNAMA
BUDAYARENCANA

Perjanjian Malaysia: Syor dan intipati 11 perkara

Perjanjian Malaysia ditandatangani antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura dengan United Kingdom (UK) pada 9 Julai 1963.

Asalnya dirancang berkuat kuasa pada 31 Ogos tahun itu, perjanjian ini bagaimanapun tertunda kepada 16 September 1963.

Perjanjian 11 perkara ini didaftarkan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) oleh kerajaan UK pada 21 September 1970.

Selain itu, memorandum 20 perkara yang dikemukakan Sabah dan 18 perkara yang dicadang Sarawak dihantar kepada Jawatankuasa Antara Kerajaan sebelum perlembagaan digubal.

Jawatankuasa ini ditubuhkan pada 1 Ogos 1962 hasil cadangan Suruhanjaya Cobbold, yang dibentuk 17 Januari tahun tersebut, bagi mendapatkan pandangan Sabah dan Sarawak sebelum mendirikan Malaysia.

Wartawan AFIX REDZUAN menyusun maklumat mengenai perjanjian maha penting ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Intipati perjanjian

1. Sabah, Sarawak dan Singapura disekutukan dengan Persekutuan Tanah Melayu dengan nama Malaysia

2. Persekutuan Tanah Melayu wajib menggubal Perlembagaan yang berkuatkuasa pada 31 Ogos 1963 (tarikh ini dikenali “Hari Malaysia” tetapi tertangguh kepada 16 September 1963)

3. UK bertanggungjawab mengubah perlembagaan Sabah, Sarawak dan Singapura sebagai negeri dalam Malaysia

4. UK wajib dapatkan penggubalan satu akta di parlimennya bagi lepaskan hak kedaulatan Ratu ke atas Sabah, Sarawak dan Singapura bermula pada “Hari Malaysia”

5. Persekutuan Tanah Melayu gubal akta bagi meminda skop imigresen untuk kemasukan ke Sabah dan Sarawak bersama peruntukan khas

6. Perjanjian Pertahanan Luar dan Bantuan Bersama antara Tanah Melayu dan UK pada 1957 diperluaskan bagi semua wilayah “Malaysia” dan kebenaran gunakan pangkalan tentera sedia ada

7. Persetujuan mengenai pembayaran saguhati kepada pegawai perkhidmatan awam UK terutama di Sabah dan Sarawak sebelum Hari Malaysia. Perjanjian Pegawai Awam ditandatangani antara UK dan Malaysia dengan persetujuan Sabah, Sarawak dan Singapura

8. Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak laksanakan segala syor, jaminan dan aku janji yang terdapat di dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan yang ditandatangani pada 27 Februari 1963

9. Lampiran J (Pasaran Bersama dan perkiraan kewangan) dijadikan sebagai perjanjian antara Tanah Melayu dan Singapura

10. Tanah Melayu dan Singapura jalankan kuasa-kuasa yang ada berkenaan siaran radio dan televisyen seperti Lampiran K

11. Perjanjian ini ditandatangani dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu tetapi setiap lampirannya hanyalah dalam Bahasa Inggeris

Syor penting Jawatankuasa Antara Kerajaan

Agama

– Islam agama rasmi persekutuan dikecualikan ke atas Sabah dan Sarawak

Bahasa

– bahasa Melayu diangkat bahasa rasmi persekutuan tetapi bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa rasmi Sabah dan Sarawak

Pendidikan

– pendidikan kekal bawah kawalan kerajaan persekutuan kecuali Sabah dan Sarawak sehingga Majlis Negeri membuat pindaan

Wakil di Parlimen

– 16 kerusi diperuntukkan kepada Sabah, 24 kerusi untuk Sarawak dan Singapura (15 kerusi) sebelum republik itu dikeluarkan pada 1965

Imigresen

– bidang kuasa bawah kerajaan persekutuan tetapi Sabah dan Sarawak diberi kuasa sendiri kendalikan hal-ehwal imigresen

Intipati memorandum 20 perkara

1. Agama (seperti dalam syor)

2. Bahasa (seperti dalam syor)

3. Perlembagaan digubal dengan persetujuan Sabah dan Sarawak

4. Ketua negeri di Sabah tidak layak dipilih ketua persekutuan

5. Nama persekutuan: Malaysia, bukannya Melayu Raya

6. Imigresen (seperti dalam syor)

7. Hak negeri berpisah daripada persekutuan tidak dibenarkan

8. Warga negeri Sabah dan Sarawak menyertai perkhidmatan awam dengan segera

9. Pegawai-pegawai British kekal sehingga anak tempatan layak ganti

10. Kewarganegaraan diberi kepada semua penduduk

11. Boleh mengurus kewangan sendiri termasuk tarif dan cukai

12. Hak istimewa bumiputera kekal seperti hak Melayu di Tanah Melayu

13. Kerajaan negeri: Ketua menteri seharusnya dipilih bukan Ahli Majlis Perundangan dan perlu satu sistem kementerian

14. Tempoh peralihan ditetapkan tujuh tahun dan kuasa perundangan pada Perlembagaan

15. Pendidikan (seperti dalam syor)

16. Perlindungan Perlembagaan

17. Wakil di Parlimen ikut saiz dan keupayaan Sabah dan Sarawak

18. Nama ketua negeri: Yang di-Pertua Negara

19. Nama negeri: Sabah

20. Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain ikut kuasa negeri

Semua perkara melibatkan Singapura dalam Perjanjian 1963 terbatal dan dimansuhkan apabila ia dikeluarkan daripada persekutuan pada 9 Ogos 1965


Pengarang :