Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau keadaan ruang perniagaan di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 14 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rebat sewa, pengecualian denda bantu peniaga Kompleks PKNS

SHAH ALAM, 2 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi rebat sewa sehingga 50 peratus kepada penyewa di tiga kompleksnya yang terjejas perniagaan susulan pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar menjelaskan peniaga di kompleks PKNS di Shah Alam, Bangi serta Kuala Selangor itu menikmati rebat selama lima bulan bermula April tahun lalu yang jumlahnya bergantung jenis perniagaan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) turut mengecualikan faedah lewat bayar dari Jun tahun lalu sehingga Disember ini.

Beliau turut mengumumkan pengecualian sewa kepada penyewa bukan sektor penting di Kompleks PKNS Kuala Selangor susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 bermula 15 Jun hingga kini.

“PREC juga dalam kajian mempertimbangkan moratorium sebanyak 50 peratus dari kadar sewa selama empat bulan kepada peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi bagi PKP 3.0,” katanya.

Amirudin menjawab soalan wakil rakyat Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berhubung bantuan Kerajaan Negeri untuk membela peniaga di tiga kompleks PKNS pasca Covid-19 di sidang Dewan Negeri Selangor.

Beliau berkata langkah lain mewujudkan platform e-dagang dikenali Bazaarlokal dengan kos pemasarannya ditanggung PREC dan membimbing 200 peniaga yang menjual lebih 500 produk.

Amirudin menjelaskan anak syarikat PKNS itu turut menyediakan platform promosi di ruang legar kompleks tanpa mengenakan sewa selain hebahan di media sosial.


Pengarang :