Petugas pembersihan melakukan kerja-kerja penyemburan cecair nyahkuman dalam kuil menjelang sambutan perayaan Deepavali ketika tinjauan di Kuil Sri Maha Mariamman Seksyen 7, Shah Alam pada 13 November 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor peruntuk lebih RM1.7 juta agih kepada 160 kuil

SHAH ALAM, 3 SEPT: Lebih RM1.7 juta diagih kepada 160 kuil seluruh negeri melalui peruntukan rumah ibadat bukan Islam tahun ini.

Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (Limas) berkata bantuan kewangan itu diberi secara berperingkat bermula April.

“Fasa pertama membabitkan belanja RM630,000 untuk 63 kuil manakala fasa kedua hari ini dengan dana RM393,000 untuk 43 kuil.

“Fasa terakhir dijadualkan minggu depan dengan peruntukan lebih RM700,000. Pemberian melibatkan 54 kuil,” kata V Ganabatirau pada sidang media di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Jelasnya sumbangan itu membolehkan kuil menjalankn pelbagai aktiviti untuk komuniti India kawasan masing-masing termasuk menghulur sumbangan kepada individu terjejas Covid-19.

“Setiap tahun kita sedia peruntukan untuk semua agama jadi tidak timbul isu Kerajaan Negeri tak prihatin kepada bukan Islam.

“Setiap tahun sejak 2014, lebih RM1 juta ringgit diperuntuk kepada rumah ibadat bukan Islam. Ini merupakan komitmen kerajaan dalam mempertahankan prinsip kesamarataan kaum,” katanya.


Pengarang :