Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) bercakap kepada media selepas menyampaikan kit ujian kendiri Saliva Test kepada lima Ahli Dewan Negeri (ADN) di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama, Petaling Jaya pada 3 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

Kit ujian kendiri percuma mula diagih hari ini

PETALING JAYA, 3 SEPT: Kerajaan Negeri hari ini mula mengedar secara berperingkat 60,000 kit ujian kendiri yang akan diberikan percuma kepada rakyat yang positif Covid-19.

EXCO kesihatan awam berkata buat permulaan sebanyak 5,000 kit diedar kepada lima wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, Seri Setia, Kota Damansara, Taman Templer dan Subang Jaya dengan masing-masing menerima 1,000 unit.

“Pemberian kit ujian kendiri Covid-19 ini adalah untuk membantu pemantauan kendiri apabila keadaan memerlukannya seperti keluarga yang menjalani isolasi atau kuarantin di rumah.

“Persoalannya apabila dikuarantin di rumah…kita tahu apabila seseorang disahkan positif lambut laun seisi rumah menjadi kontak rapat dan tidak boleh keluar. Maka kit ini diperlukan untuk membuat pengasingan antara yang positif dan negatif,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan saliva test kit kepada lima Ahli Dewan Negeri (ADN) di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama di sini hari ini.

Katanya, kit itu juga boleh digunakan selepas 10 hari individu yang dikuarantin untuk mengetahui sama ada kekal negatif atau sebaliknya.

Pada 12 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Selangor akan mengagihkan 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak itu pada September depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kit itu akan diagihkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).


Pengarang :