Petugas kesihatan Selvax memberi suntikan pelalian Covid-19 kepada penerima dos kedua di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma Shah Alam pada 31 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selvax: 9,500 dos kedua disuntik di PPV Hotel De Palma

SHAH ALAM, 1 SEPT: Sebanyak 9,500 dos suntikan kedua diberikan kepada rakyat Selangor di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma Seksyen 19 di sini setakat semalam.

Penyelarasnya Ahmad Afendi Adham berkata jumlah itu membabitkan pemberian suntikan sejak 13 Ogos lalu bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

“Alhamdulillah, kita telah mula beri dos kedua sejak 13 Ogos lalu dan perlu menghabiskan peruntukan kira-kira 3,500 dos lagi sehingga 3 September ini.

“Penyertaan masyarakat amat menggalakkan dan berharap dalam tempoh berbaki beberapa hari lagi,
mereka yang diberi tarikh janji temu dapat menghadirkan diri,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata individu yang gagal berbuat demikian selepas tarikh tersebut diminta menghubungi Klinik Selcare untuk membuat penjadualan semula, namun perlu mengemukakan alasan munasabah.

“Hanya kes tertentu dipertimbangkan antaranya positif Covid-19 atau kontak rapat kepada pesakit dan mereka perlu sertakan surat kuarantin yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagi individu yang sengaja tidak hadir melengkapkan dos kedua mereka di PPV seperti yang ditetapkan, mereka perlu menyertakan surat tunjuk sebab,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :