Sukarelawan membantu warga emas yang selesai menerima suntikan ketika program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point, Ampang pada 16 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sibuk urus enam restoran tidak halang wanita sertai sukarelawan

AMPANG, 17 SEPT: Kesibukan menguruskan enam cawangan restoran makanan Korea di Lembah Klang tidak menghalang seorang wanita melakukan aktiviti sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak.

Puteri Siti Hajar Takrim berkata minat mendalam terhadap kerja murni itu mendorongnya mendaftar dengan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa bagi membantu program suntikan pelalian.


Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) Puteri Siti Hajar Takrim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Dari dulu lagi saya memang gemar melaksanakan aktiviti kemasyarakatan walaupun sibuk dengan perniagaan. Saya rasa puas apabila dapat bantu orang, malah sering menyertai misi bantuan banjir di beberapa negeri.

“Hari ini (semalam) merupakan percubaan pertama saya dan dianggap sebagai latihan kerana Suka perlu jalani sesi itu selama tiga bulan,” katanya ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point semalam.

Suka yang ditubuhkan di semua 56 DUN di Selangor akan digerakkan untuk membantu Kerajaan Negeri menjalankan aktiviti berkaitan kesihatan awam dengan tumpuan terhadap pandemik Covid-19.

Sementara itu, wanita berusia 33 tahun itu mengakui teruja diberi peluang bertugas sebagai sukarelawan pengiring di PPV bergerak selain menyifatkan tugas tersebut lebih mudah berbanding kebiasaan.

“Aktiviti sukarelawan sebelum ini lebih mencabar kerana perlu ke kawasan pedalaman, kena bermalam dalam khemah atau kenderaan selain bangun seawal jam 3 pagi untuk meneruskan misi sukarelawan.

“Namun, saya tidak menyangka bertugas di PPV sangat senang kerana orang ramai termasuk warga asing beri kerjasama, cuma kena sentiasa bersedia jika ada yang pengsan,” katanya yang dijadual ke dua PPV selepas ini.

Ditanya pembahagian masa antara perniagaan dan aktiviti kesukarelawan, usahawan yang menetap di Bukit Indah berkata perkara itu tidak menjadi masalah sama sekali.

“Soal itu tidak bimbang sangat, lagipun saya memang akan meminta pekerja untuk jaga restoran sementara berada di luar kawasan dan hanya akan ke sana setiap petang,” katanya.


Pengarang :