Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point, Ampang pada 16 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saiz trak, cuaca panas antara cabaran jurusuntik beri vaksin secara bergerak

AMPANG, 17 SEPT: Ruang trak yang panas dan sempit antara cabaran ditempuh jurusuntik sepanjang melakukan proses pemberian vaksin secara bergerak kepada orang ramai.

Bagaimanapun kekangan itu tidak menghalang Sashitharan Santasagaran untuk menggalas tugas dengan sempurna demi memastikan rakyat menerima pelalian Covid-19.

Penolong Pegawai Perubatan Sashitharan Santasagaran. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau yang menyertai sukarelawan Troppers sejak Julai berkata meskipun suasana dalam trak vaksin bergerak berbeza dibandingkan pusat pemberian vaksin (PPV), namun keseronokan tetap dirasai kerana berpeluang melihat ragam peserta.

“Tatacara operasi piawai (SOP) sama sahaja cuma dalam trak bergerak melibatkan peserta dalam skala kecil antara 300 hingga 400 orang manakala di PPV mencecah ribuan.

“Setakat ini tiada masalah timbul, cuma kiranya peserta itu orang kelainan upaya (OKU), kami akan beri suntikan dalam kereta bagi mengelak risiko jatuh dari tangga trak.

“Secara keseluruhan ia tidak memberi beban kepada kami melainkan soal keselesaan yang memberi sedikit cabaran,” katanya ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa di Dataran Santai Ampang Point di sini, semalam.

Setakat ini, Sashitharan yang juga penolong pegawai perubatan Ambulans Uncle Kentang bertugas di dua lokasi vaksinasi bergerak antaranya Padang Jawa, Shah Alam termasuk Dataran Santai.

“Selepas ini saya akan pergi ke setiap program vaksinasi bergerak mengikut jadual ditetapkan oleh pengurusan Troppers, begitu juga dengan jurusuntik lain,” katanya.

Ditanya perancangan selepas program vaksinasi tamat, beliau berkata akan kembali ke kerjaya asal memandangkan sedang cuti tanpa gaji.

“Saya memohon cuti tanpa gaji kerana mahu menjadi sebahagian daripada petugas hadapan dalam program imunisasi negara. Majikan memang membenarkan saya untuk berbuat demikian,” katanya yang sudah 15 tahun berkhidmat dalam sektor perubatan.


Pengarang :