Beberapa individu menunggu giliran untuk divaksin dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Blok 1 Flat PKNS Seksyen 7,Shah Alam pada 19 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Suami isteri terima vaksin negeri mahu tunai hajat melancong ke Sabah

SHAH ALAM, 19 SEPT: Sepasang suami isteri memasang impian untuk melancong ke Kundasang, Sabah sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti rentas sempadan negeri terhadap individu lengkap dos vaksin.

Keinginan bercuti di pekan kecil terletak di daerah Ranau itu sudah lama dirancang Mohd Yusairi Khairuddin, 35, dan isteri Marifa Eruwan, 30, namun terbantut gara-gara pandemik yang melanda negara sejak tahun lalu.

Mohd Yusairi Khairuddin

Mohd Yusairi berkata sudah tiba masanya kerajaan memberi kelonggaran kepada rakyat di negara ini untuk melakukan aktiviti tersebut dalam norma baharu memandangkan negara sudah mencapai liputan imunisasi tinggi.

“Semua orang ada kemahuan untuk pergi bercuti kerana sudah lama kita ikut SOP (tatacara operasi piawai) ditetapkan, tambah pula masing-masing sudah bosan terperuk di rumah dan hanya melakukan rutin sama.

“Mudah-mudahan kerajaan sedia mempertimbangkan perkara ini. Kami sekeluarga sentiasa menantikan pengumuman tersebut agar mampu ke Kundasang seperti dirancang sebelum ini,” kata peniaga dan penghantar makanan Grab itu.

Pasangan itu antara 300 peserta menerima pelalian dos pertama menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Blok 1, Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 7 di sini hari ini.

Marifa Eruwan

Sementara itu, Marifa yang berkhidmat sebagai guru tadika di Seksyen 8 berkata mereka sudah menempah tiket penerbangan bagi perjalanan ke Kundasang akhir tahun ini.

“Insya-Allah, kalau SOP tidak lagi diperketatkan kami ingin bawa sekali anak perempuan saya Margeena Mohd Yusairi yang kini berusia tiga tahun bercuti ke sana. Apatah lagi kami sudah beli tiket pergi dan balik berharga lebih RM1,000 bagi tujuan itu.

“Sebenarnya kita mahukan kebebasan setelah sekian lama dikongkong, sebab itu kami memilih untuk bercuti bila tiba masanya nanti kerana kebebasan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya.

Marifa turut berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana memberi suntikan vaksin secara mudah memandangkan mereka berdua masih belum menerima slot janji temu di MySejahtera sejak mendaftar bulan lalu.

“Mujur adik ipar beritahu ada program Selvax tanpa janji temu di sini yang diadakan secara bergerak, jadi saya dan suami terus datang. Sekarang rasa lebih selamat kalau nak pergi ke mana-mana tetapi perlu tunggu dos kedua dulu,” katanya.

 


Pengarang :