Pekerja Mohd Adam Abd Nasir menunjukkan sijil digital vaksinasi lengkap ketika tinjauan di sebuah restoran sekitar ibu kota pada 25 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Wakil rakyat gesa kerajaan segera kemas kini maklumat penerima vaksin di MySejahtera

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan digesa mengemas kini maklumat penerima lengkap dos pelalian bawah program Vaksin Selangor (Selvax) di aplikasi MySejahtera bagi memudahkan urusan harian.

Wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki berkata banyak aduan dihantar orang ramai melalui sistem meja bantuan (Helpdesk) berhubung isu terbabit, namun tiada maklum balas untuk kemas kini berkenaan sehingga kini.

Katanya isu berkenaan tidak seharusnya timbul berikutan Selgate Healthcare, pihak yang mengendalikan program Selvax sudah menghantar semua maklumat peserta kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wong Siew Ki

“Bermula sekitar Ogos sehingga sekarang, saya menerima panggilan dan pertanyaan daripada peserta Selvax bahawa maklumat mereka tidak dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera walaupun telah 14 hari menerima vaksin dos kedua.

“Hal ini memberi kesan kepada kehidupan seharian orang ramai kerana tidak dibenarkan memasuki premis perniagaan dan tempat awam disebabkan kegagalan menunjukkan status vaksin melalui e-sijil MySejahtera,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata usaha melawan pandemik tidak akan berjaya sekiranya kerajaan gagal menangani isu terbabit.

“Situasi ini amat mengecewakan apabila aplikasi yang menjadi kebergantungan utama kerajaan mengambil masa lama untuk mengemas kini maklumat penerima vaksin,” katanya.


Pengarang :