Peguam Syarie Nursakinah Jaludin berkongsi pandangan dalam program bual bicara ‘Cerai elak pandemik & pasangan’ menerusi Facebook Media Selangor pada 7 September 2021.
AGENDANASIONAL

Isteri disaran tuntut nafkah, elak suami gagal tunai tanggungjawab

SHAH ALAM, 8 SEPT: Isteri berhak dan digalak membuat tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah bagi mengelak berlakunya kegagalan golongan suami menjalankan tanggungjawab.

Peguam Syarie Nursakinah Jaludin berkata tuntutan nafkah itu boleh dilakukan selepas pernikahan dan merangkumi tanggungjawab seperti tempat tinggal, makan minum, perubatan serta keperluan peribadi.

“Ramai tidak tahu tuntutan dibuat tidak semestinya hendak bercerai tetapi ia adalah bukti hitam putih apa yang perlu suami berikan sepanjang tempoh perkahwinan. Golongan isteri perlu tahu apa yang wajib dituntut kepada suami.

“Mungkin sepanjang tempoh bersama isteri reda tetapi tidak sebaliknya jika berlaku kegagalan dalam perkahwinan. Jika berlaku kegagalan dalam memberi nafkah isteri boleh menuntut hak di mahkamah dengan perintah nafkah tertunggak,” katanya dalam program bual bicara secara langsung di Facebook Media Selangor semalam.

Nursakinah berkata sekiranya isteri mahu membuat tuntutan nafkah perlu dipastikan semua dokumen pembayaran lengkap kerana mahkamah tidak menerima hanya dengan penerangan tanpa bukti kukuh.

Menurutnya, statistik menunjukkan sejumlah 36,983 kes penceraian didaftar sejak Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu iaitu 18,783 kes berjaya diselesaikan mahkamah.

“Harus diingat pengesahan lafaz cerai adalah bidang kuasa mahkamah syariah sahaja dan orang lain tidak boleh tentukannya. Selagi tidak dibawa ke mahkamah lafaz cerai itu tergantung.

“Pasangan perlu merujuk kepada mahkamah untuk pengesahan namun apa perlu dilakukan jika tidak pergi ke mahkamah adalah perlu dibuat catatan untuk digunakan ketika perbicaraan kelak seperti waktu, lokasi dan saksi,” katanya.


Pengarang :