Kanak-kanak autistik dari Persatuan Inisiatif Sokongan Autisme Nouri Berhad (Insani) mengadakan persembahan dalam suatu majlis di Wisma PKPS, Shah Alam pada 13 Mac 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELAMGORKINI
AGENSISELANGOR

Yawas sedia tubuh lebih banyak pusat pendidikan anak istimewa

SHAH ALAM, 13 SEPT: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) bersedia menambah lokasi dan memperluaskan pengambilan kategori peserta Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat Anis).

Pengurus besarnya berkata pihaknya akan melihat terlebih dahulu keberkesanan pelaksanaan projek perintis di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini yang beroperasi mulai 7 September lalu.

Gan Pei Nei berkata sebagai permulaan program itu terhad kepada kanak-kanak istimewa kategori satu dan dua dengan sasaran pengambilan 48 peserta menjelang penghujung tahun.

“Selain peruntukan kita juga perlu buat pertimbangan sama ada tenaga pengajar mencukupi, mereka perlu menerima latihan menerusi program Genius Kurnia di bawah Kementerian Pendidikan.

“Sekiranya lancar kita mungkin boleh perkenalkan di tempat lain dan terima peserta kategori tiga yang memerlukan tumpuan kerana lebih agresif,” katanya di sini hari ini.

Pada 21 Ogos, Kerajaan Selangor menubuhkan pusat sokongan pendidikan untuk kanak-kanak istimewa dalam lingkungan usia dua hingga enam tahun di negeri ini.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata perkhidmatan Pusat Anis meliputi saringan, pengesanan awal dan intervensi.

Pendaftaran masih dibuka sehingga Oktober dengan ibu bapa perlu mendaftar serta mengisi borang di www.anisselangor.com/intervensianis dan menyediakan dokumen diperlukan.


Pengarang :