Norazle Mohamad, 39, mengisi air ke dalam bekas kosong selepas menerima bantuan bekalan air di Pangsapuri Melati Taman Bukit Subang, Sungai Buloh pada 14 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agihan botol air minuman ringankan beban penduduk

SUNGAI BULOH, 14 OKT: Penduduk Taman Bukit Subang bersyukur dengan bantuan botol air minuman yang diagihkan Kerajaan Negeri.

Pengerusi Pertubuhan Penduduk Komuniti Bukit Subang (PKBS) Mohd Tarmizi Anuar berkata bantuan air minuman amat diperlukan untuk kegunaan penduduk ketika penyenggaraan aset kritikal Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 dijalankan.

“Kebanyakan penduduk di sini merupakan warga emas, orang kelainan upaya dan mempunyai anak kecil.

“Dengan bantuan botol minuman dapat meringankan beban penduduk kerana tidak perlu membeli air selain bekalan air tadahan juga semakin berkurangan,”katanya.

Beliau ditemui ketika agihan botol minuman kepada penduduk di Pangsapuri Melati dan Pangsapuri Lili, Taman Bukit Subang hari ini yang dihadiri EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman dan wakil rakyat Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi.

Bagi suri rumah Nor Zalika Nordin,35, berkata botol air minuman yang diterima digunakan untuk kegunaan anak-anaknya yang berusia tiga hingga 10 tahun.

“Keadaan anak yang masih kecil dan salah seorang daripada mereka mengalami autisme perlu mendapat air bersih.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan berharap bekalan air diperoleh dalam masa terdekat kerana bekalan air semakin berkurangan,”katanya.

Penyenggaraan aset kritikal Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 dijalankan semalam setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Susulan itu, 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di pautan http://hentitugas.airselangor.com.


Pengarang :