Selangorkini
Petugas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menjalankan pemantauan di kawasan pantai berikutan fenomena air pasang besar dan dan peralihan monsun timur laut yang dijangka bermula awal November 2021. Foto MPKL
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Air pasang besar, MPKL gesa orang ramai jauhi kawasan pantai

SHAH ALAM, 30 OKT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyaran orang ramai khususnya penduduk di daerah itu tidak memasuki kawasan peranginan pantai sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Amirul Azizan Bin Abd Rahim berkata air pasang besar dijangka berlaku bermula pada 3 hingga 7 November ini dan pihaknya akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan terlibat.

“Antara kawasan dijangka akan berlaku limpahan air seperti Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

“Justeru, MPKL akan menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk di Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Amirul Azizan menasihatkan sekiranya berlaku hujan lebat dan angin kencang secara serentak bersama air pasang besar, risiko berlakunya kejadian banjir akan menjadi lebih buruk.

Beliau berkata orang awam yang tinggal di pesisir pantai disaran menyimpan semua dokumen penting di tempat selamat serta mudah diambil sekiranya berlaku keadaan tersebut.

“Orang ramai khususnya penduduk di daerah ini diminta tidak mendekati atau memasuki serta menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh ditetapkan memandangkan kesemua kawasan peranginan pantai terlibat akan ditutup sepenuhnya,” katanya.


Pengarang :