Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Fama catat hasil jualan RM122 juta bagi tempoh kurang dua bulan

JOHOR BAHRU, 24 OKT: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan hasil jualan sebanyak RM122 juta menerusi rangkaian outlet seliaan lembaga itu dari 1 Sept hingga 18 Okt lalu.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Bidin Yang Razali berkata 368 rangkaian outlet yang mula dibuka di seluruh negara memberi manfaat kepada lebih 12,131 usahawan dan 2.26 juta pelanggan untuk mendapatkan produk agromakanan yang ditawarkan.

Katanya pembukaan rangkaian outlet dengan mengadaptasi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu menunjukkan satu indikator positif berikutan jumlah dan hasil keuntungan yang dicapai melebihi daripada sasaran awal ditetapkan FAMA.

Pembukaan semula rangkaian outlet FAMA merangkumi 35 pasar tani kekal, 266 pasar tani, 19 medan gerai buah-buahan segar, lima Agrobazaaar R&R serta lima pasar tamu.

“Pada mulanya, kita menyasarkan untuk membuka sebanyak 241 outlet namun, sehingga 18 Oktober, kita telah membuka 368 outlet.

“Dari segi jumlah usahawan, kita menyasarkan sebanyak 6,000 usahawan dan itu (sasaran) sehingga Disember tetapi setakat Isnin lepas, lebih 12,000 usahawan telah menjalankan perniagaan.

“Dari segi nilai jualan pula, kita menyasarkan sebanyak RM200 juta sehingga 31 Disember ini, namun sehingga kini nilai jualan yang telah dijana oleh usahawan setakat Isnin lepas mencatatkan nilai jualan sebanyak RM122 juta.

“Oleh itu, menjelang akhir tahun nanti kita boleh mencapai lebih daripada yang disasarkan,” katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Terdahulu, satu sesi sidang video antara Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar telah diadakan di FAMA Negeri Johor.

Ronald turut menyampaikan sumbangan 2.5 tan metrik produk agromakanan menerusi MAFI Prihatin kepada enam buah rumah kebajikan masyarakat di sekitar Johor Bahru yang memberi manfaat kepada 350 penerima.

Sumbangan berkenaan turut disampaikan kepada 200 rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura.

Menerusi MAFI Prihatin melalui FAMA, bagi tempoh Jun hingga 18 Okt, sebanyak 90 tan metrik makanan telah disalurkan melibatkan nilai RM330,000 telah diberikan kepada 40,000 penerima di 209 lokasi di seluruh negara.

Di Johor pula, pelaksanaan MAFI Prihatin melalui FAMA telah memberi manfaat kepada 3,480 individu di 14 lokasi di seluruh negeri dengan nilai bantuan berjumlah RM35,000.

– BERNAMA


Pengarang :