Kehadiran Dato’ Seri Amirudin ketika majlis Pelancaran Pusat Khidmat Rakyat (Penyelaras) Parlimen Gombak, Gombak pada 2 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Inisiatif Selangor, politik stabil bantu turun kes Covid-19 negeri

GOMBAK, 3 OKT: Penurunan kes Covid-19 di Selangor ketika ini dicapai hasil pelaksanaan beberapa inisiatif selain dibantu kestabilan politik negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pada Julai sistem kesihatan Selangor hampir lumpuh dengan jangkitan mencecah 7,000 hingga 8,000 kes sehari namun kesatuan semua pihak mampu mengekangnya.

“Ini membuktikan langkah pentadbiran negeri melakukan saringan, pemberian vaksin serta menetapkan beberapa peraturan mendatangkan hasil.

“Kita juga dapat laksanakan ini semua sebab kestabilan politik kerana kita kekalkan penghormatan pada mandat PRU (pilihan raya umum) malah mampu yakinkan pelabur luar ke Selangor,” katanya berucap merasmikan Pusat Khidmat Rakyat (Penyelaras) Parlimen Gombak semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Pelancaran Pusat Khidmat Rakyat (Penyelaras) Parlimen Gombak, Gombak pada 2 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengerusi Pakatan Harapan negeri berkata semua kepemimpinan Selangor perlu bersikap profesional menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan bersama.

“Bila MKN (Majlis Keselamatan Negara) panggil mesyuarat, perdana menteri panggil kita datang. Bila KJ (Khairy Jamaluddin) datang lawat, kita bagi pandangan dan cadangan.

“Sebab ini penting untuk rakyat serta kestabilan politik. Bukan bermaksud tak boleh lawan, kritik tetapi jangan langgar batas tertentu yang boleh rosakkan asas dibina bertahun-tahun,” katanya.

Hari ini Selangor mencatatkan 1,000 jangkitan Covid-19 dan jumlah itu menurun berbanding 1,386 kes dilaporkan semalam.


Pengarang :