Kakitangan Air Selangor menunjukkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari paip lama telah diganti ketika tinjauan bagi melihat kerja selenggaraan yang hampir siap di Loji Rawatan Air Selangor SSP1, Bukit Badong, Kuala Selangor pada 13 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB tinjau kerja naik taraf aset kritikal loji rawatan air

KUALA SELANGOR, 13 OKT: Dato’ Menteri Besar malam ini meluangkan masa meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 di sini yang selesai menjalani proses penyenggaraan.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba jam 9.20 malam terlebih dahulu mendengar taklimat daripada Naib Presiden 1 Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Ir Ahmad Fuad Zainuddin berhubung kerja tambah baik.

Beliau kemudiannya ke kawasan sistem bekalan air yang dinaik taraf selain memeriksa keadaan paip yang diganti.

Menerusi Twitter, Amirudin memaklumkan kerja penyelenggaraan itu melibatkan pertukaran paip injap usang yang mula digunakan pada sekitar 1994.

“Sudah berusia 27 tahun dan (paip tersebut) harus diganti. Sebab utama kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan demi keselesaan rakyat pada masa depan,” katanya.

Terdahulu, Air Selangor menyelenggara aset kritikal di loji terbabit bermula hari ini setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Susulan itu, orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang esok, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman sesawang hentitugas.airselangor.com .

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com .


Pengarang :