Logo Hari Alam Sekitar Negara 2021. Foto laman web Rakan Alam Sekitar
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Tujuh program negeri cakna alam sekitar

SHAH ALAM, 21 OKT: Tujuh program diatur Kerajaan Selangor tahun ini selaku tuan rumah bagi sambutan Hari Alam Sekitar Negara, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Program termasuk mengumpul 800 metrik tan bahan buangan elektrik dan elektronik serta aktiviti menanam pokok bagi menyokong kempen penanaman 100 juta pokok menjelang 2025.

Turut diadakan Majlis Apresiasi Media Alam Sekitar, Webinar Diskusi Menjentik Minda: Belia Cakna Alam Sekitar dan Webinar Industri Lestari: Penyelesaian Masalah Pencemaran Sumber Air di Selangor.

Selain itu, Majlis Anugerah Industri Lestari bagi mengiktiraf sumbangan dalam pengurusan alam sekitar dan Kempen Plastic Busters yang menyasar pengurangan penggunaan beg plastik.

“Saya percaya kita berada pada landasan tepat dalam menguruskan alam sekitar secara lestari melalui empat tunjang utama,” kata Amirudin ketika merasmikan sambutan itu secara maya hari ini.

“Ia meliputi tadbir urus yang baik, instrumen perundangan yang ampuh, penguatkuasaan menyeluruh serta pendidikan dan kesedaran secara berterusan.”

Sambutan bertemakan Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama turut disertai Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu Amirudin berkata sinergi antara agensi Kerajaan Negeri dan persekutuan perlu terus digembleng terutama aspek penguatkuasaan bagi merungkai masalah alam sekitar.

 


Pengarang :