Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Pelakon, pengarah dan penolongnya mengaku salah miliki dadah

SHAH ALAM, 12 OKT: Pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi bersama dua lagi individu iaitu pengarah filem dan penolongnya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini, atas tuduhan memiliki dadah pada Ahad lalu.

Muhamad Niezam, 28; pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 49; serta penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46; membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari, lapor Berita Harian.

Menurut kertas pertuduhan, Muhamad Niezam didakwa ada dalam milikannya 1.15 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, di sini, jam 7.15 pagi 10 Oktober lalu.

Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin pula masing-masing didakwa memiliki 0.3g dadah jenis kanabis serta 0.38g dadah jenis methamphetamine pada waktu, tarikh dan lokasi sama dalam pertuduhan ke atas Muhamad Niezam.

Muhamad Niezam dan Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Saiful Zaidrin didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM3,000 ke atas Muhamad Niezam, Mohd Latiff (RM2,600) dan Saiful Zaidrin (RM3,200) masing-masing dengan seorang penjamin.

Mohd Shazmeer juga menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk sebutan semula kes ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia.


Pengarang :