Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor memeriksa seorang penunggang p-panggilan ketika Ops Merah dilaksana di Petaling Jaya pada 12 Oktober 2021. Foto MUSTAKIM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Langgar lampu isyarat, tiada lesen kesalahan kerap penunggang p-panggilan

PETALING JAYA, 12 OKT: Sebanyak 321 kesalahan membabitkan penunggang perkhidmatan p-panggilan di negeri ini dikesan menerusi Ops Merah dijalankan bermula 8 Oktober lalu hingga jam 12.30 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Nazli Md Taib berkata daripada jumlah itu melanggar lampu isyarat merah merupakan kesalahan tertinggi dengan 98 kes diikuti tidak mempunyai lesen (97).

“Ramai yang masih tiada lesen memandu yang sah dan menjadi tanda tanya kepada kita bagaimana pihak syarikat membenarkan individu ini menjalankan tugas.

“Kita akan siasat lebih lanjut dan kemukakan surat tunjuk sebab kepada syarikat berkenaan bagaimana dibenarkan sedangkan syarat wajib perlu mempunyai lesen,” katanya selepas Ops Merah bersama polis trafik di laluan motosikal di sini, hari ini.

Nazli berkata antara kesalahan lain yang dikesan ialah tiada perlindungan insurans (51), ubah suai (23), tidak memakai topi kaledar (dua), melawan arus (dua), menggunakan telefon bimbit (dua), tiada cermin sisi (dua) dan lain-lain kesalahan (40).

“Sebanyak 959 motosikal p-panggilan telah diperiksa sejak 8 Oktober lalu dan kita secara berterusan akan melaksana program advokasi bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya,” katanya.

Berdasarkan statistik Trafik Bukit Aman sebanyak 451 kes kemalangan membabitkan p-panggilan dilaporkan sejak 2019 hingga Ogos lalu dengan 72 maut, 54 parah dan 325 cedera ringan.

 


Pengarang :