Salah seorang penduduk gembira selepas menerima air minuman yang diagihkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Flat PKNS Seksyen 17, Petaling Jaya pada 14 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penduduk syukur dapat bantuan air, bukti negeri prihatin

PETALING JAYA, 14 OKT: Bantuan bekalan air susulan kerja naik taraf aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 melegakan penduduk Flat PKNS Seksyen 17 di sini.

Penghuni pangsapuri berkenaan menerima bekas air berkapasiti 1,000 liter, botol air minuman dan dua lori tangki, kata ahli jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“Bantuan ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap penduduk kerana ramai warga emas tinggal di kawasan ini,” kata Mohd Hassan Che Omar.

Pagi tadi, lebih 500 botol air minuman lima liter diagihkan kepada penduduk di situ sumbangan
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Bantuan diagihkan sendiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman.

Kerja penyenggaraan sejak semalam melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Dalam tempoh itu, sebanyak 105 lori tangki air digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di pautan http://hentitugas.airselangor.com.


Pengarang :