Pasukan penguat kuasa Luas dengan kerjasama pelbagai agensi lain menjalankan siasatan punca kekeruhan Sungai Remok, Hulu Selangor pada 20 Oktober 2021. Foto FACEBOOK LUAS
AGENDANASIONAL

Premis jalankan aktiviti pertanian dikompaun, punca Sungai Remok keruh

SHAH ALAM, 20 OKT: Aktiviti tanah seluas 20 ekar bagi tujuan pertanian menjadi punca kekeruhan Sungai Remok, Hulu Selangor.

EXCO alam sekitar berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan pelepasan bahan pencemar dari sebuah kolam takungan di kawasan terbabit pada jarak kurang satu kilometer.

Hee Loy Sian menjelaskan pensampelan Luas secara in-situ di lokasi berkenaan adalah 20 nilai bacaan kekeruhan (NTU) manakala jumlah pepejal terampai adalah 18 mg/l semasa keadaan biasa tanpa hujan.

“Bagaimanapun kawasan permukaan kerja tanah yang terdedah ini berisiko kepada peningkatan kekeruhan apabila hujan lebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu juga, Loy Sian berkata premis terbabit dikompaun Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengikut Seksyen 70 A(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran.

Menurutnya, tindakan dikenakan semalam selepas mendapati premis berkenaan tiada kelulusan pelan kerja tanah walaupun memperoleh kebenaran merancang untuk tapak penanaman sayur dan struktur rumah hijau.

Sementara itu, Loy Sian berkata premis terbabit juga diarah menghentikan sebarang pelepasan bahan pencemar selain menyediakan langkah kawalan pencemaran sedimen dan kelodak yang efisien.

Beliau memaklumkan Perintah Perlindungan Air mengikut Seksyen 122 (1) Enakmen Luas 1999 itu bagi mengelak memberi risiko kepada kuantiti serta kualiti air terjejas akibat kekeruhan.

“Kegagalan pematuhan perintah boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara untuk tempoh tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya tidak lebih RM3,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan,” katanya.

Kelmarin, Pertubuhan Kebajikan Warga Desa Hulu Selangor meminta Kerajaan Negeri menyiasat punca sebenar pencemaran yang berlaku di sungai berkenaan.

 


Pengarang :