Selangorkini
Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian Covid-19 kepada remaja di PPV Bangi Avenue Convention Centre, Kajang pada 30 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Remaja tidak bersekolah turut berpeluang dapatkan Vaksin Selangor

SHAH ALAM, 22 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja yang bermula Ahad ini akan turut dibuka kepada golongan remaja usia 12 hingga 17 tahun yang tidak bersekolah, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program turut dibuka kepada warganegara dan bukan warganegara yang masih belum menerima janji temu vaksinasi dos pertama dan penerima vaksin Selvax yang terlepas janji temu dos kedua.

Selain itu katanya bagi melancarkan proses pemberian vaksin, pihak sekolah akan diberikan kod baucer khusus yang membolehkan pelajar mendaftar sendiri di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Individu tidak memiliki telefon pintar atau akses kepada aplikasi itu akan dibantu petugas Selcare untuk proses pendaftaran.

“Sebelum suntikan diberi pihak sekolah dibekalkan dengan borang persetujuan vaksinasi yang akan diisi oleh ibu bapa,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu beliau berkata Selvax Remaja dijalankan mulai Ahad ini melibatkan 3,416 pelajar.

Program dilaksanakan di beberapa Dewan Undangan Negeri antaranya Pandamaran, Pelabuhan Klang, Tanjung Sepat dan Bukit Lanjan.

Sementara itu Amirudin berkata Selvax Komuniti diteruskan mulai 28 Oktober di klinik Selcare manakala 1 November di klinik panel seluruh negeri.

“Ini bagi memastikan tiada warga Selangor tercicir vaksinasi. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sosial, aplikasi SELangkah dan Media Selangor,” katanya.


Pengarang :