Kawasan beriadah dan berkelah di Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort, Hulu Langat. Foto ihsan Tourism Selangor
AGENSISELANGOR

Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort kembali beroperasi esok

SHAH ALAM, 8 OKT: Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort, Hulu Langat dibuka semula kepada umum mulai esok dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Tourism Selangor menerusi kenyataan memaklumkan Taman Eko Rimba Kanching juga turut kembali beroperasi sejak 4 Oktober lalu.

“Waktu operasi bagi kawasan riadah itu bermula 8 pagi hingga 6 petang setiap hari dengan had 500 pengunjung pada satu-satu masa.

“Aktiviti perkhemahan dibenarkan dengan ruangan jarak dua meter antara khemah yang lain tetapi pengunjung tidak dibenarkan bermalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Agensi itu turut mengingatkan pengunjung mengutamakan keselamatan diri ketika beriadah selain mematuhi SOP seperti berikut:

1. Melalui proses imbasan suhu wajib (harus kurang daripada 37.5 Celcius)
2. Mendaftar masuk dengan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)
3. Memastikan jarak sosial satu meter
4. Wajib memakai pelitup muka
5. Wajib menunjukkan sijil vaksinasi Covid-19
6. Memastikan jarak antara kumpulan dalam satu hingga tiga meter
7. Memastikan jarak lokasi aktiviti dengan aktiviti lain tiga hingga lima meter

Kerajaan membenarkan pembukaan semula taman tema dan taman tema air kepada umum selepas Selangor memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 1 Oktober lalu.


Pengarang :