Selangorkini
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej untuk menuntut hadiah berupa wang tunai yang kembali tular di laman sosial. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

67,552 kes tipu scam dilapor babitkan kerugian RM2.23 bilion

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memaklumkan sejumlah 67,552 kes penipuan scam membabitkan kerugian bernilai RM2.23 bilion dilaporkan sejak 2017 sehingga 20 Jun 2021.

Berdasarkan kepada jumlah itu, ia bemakna seorang warganegara ditipu bagi setiap 30 minit, jelas badan pengawal selia utama pasaran modal itu.

Suruhanjaya tersebut berkata modus operandi penipuan itu melibatkan penyamaran daripada pihak bank, pihak berkuasa, perniagaan e-dagang atau pelaburan.

“Scammer akan menghubungi anda dan menyamar sebagai pihak berkuasa atau bank dan meminta maklumat peribadi untuk memindahkan wang. Ataupun mereka akan memberi tawaran murah untuk membeli barangan mahal dan meminta anda membuat bayaran terlebih dahulu, kemudian mereka tidak membuat penghantaran,” kata SC dalam laman sosialnya.

Penyamaran sebagai pihak bank atau pihak berkuasa dan jaminan pulangan pelaburan yang tinggi tanpa sebarang risiko merupakan antara muslihat penipuan yang paling sering digunakan.

SC sehubungaan itu mengingatkan pengguna agar menyemak maklumat terlebih dahulu melalui saluran rasmi pihak berkuasa dan sentiasa berwaspada serta melaporkan jika mendapat tawaran yang mencurigakan.

– BERNAMA


Pengarang :