Selangorkini
Syarifuddin Azman menyumbang mata berharga buat pasukan Petronas Sprinta Racing setelah menamatkan perlumbaan Kejuaraan Dunia kelas Moto3 di Grand Prix (GP) Aragon di tempat ke-13 di Alcaniz, Sepanyol pada 12 September 2021. Foto Facebook Syarifuddin Azman
AGENDA SUKANKINI

Damok bermotivasi untuk pusingan terakhir CEV Moto3 di Valencia

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Pelumba negara Syarifudin Azman kekal bermotivasi tinggi menuju ke pusingan terakhir CEV Moto3 pada hujung minggu ini di Litar Ricardo Tormo, Valencia di Sepanyol.

Walaupun agak kecewa dengan tunggangannya ketika sesi latihan bebas semalam selepas hampir sebulan berehat, pelumba yang lebih dikenali sebagai Damok itu yakin untuk terus bekerja keras bagi meningkatkan prestasinya, menjelang dua perlumbaan pada Ahad ini.

“Saya agak kecewa dengan latihan saya, namun saya akan terus kekal motivasi dan fokus untuk latihan seterusnya dan cari jalan untuk lebih baik bagi latihan hari ini,” katanya menerusi sebuah video kepada media.

Pelumba pasukan SIC Racing itu menduduki tempat ke-14 dengan 44 mata selepas 10 perlumbaan setakat ini, termasuk kejayaan muncul juara di Litar Catalunya pada April lalu.

Damok sebelum ini dikaitkan dengan ‘promosi’ ke Kejuaraan Moto­sikal Dunia (MotoGP) pada musim depan, tetapi namanya tidak berada dalam senarai pelumba bagi musim 2022 yang dikeluarkan oleh penganjur.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara Adam Norrodin yang beraksi di kategori Moto2 kejuaraan tersebut, gembira kerana dapat mencapai keputusan yang diharapkan pada sesi latihan dengan sasaran untuk meraih podium pada Ahad.

“Hari yang positif bagi saya sebab dapat capai sasaran latihan, saya akan terus berfikiran positif dan terus berusaha untuk latihan esok kerana minggu ini sangat penting bagi saya,” katanya yang menduduki tangga keempat dengan 84 mata selepas 10 perlumbaan setakat ini.

Pusingan kelayakan dijadualkan berlangsung pada esok, diikuti perlumbaan pada Ahad.

– BERNAMA


Pengarang :