Selangorkini
Wakil Pusat Wanita Berdaya (PWB) pelbagai daerah mempamerkan produk Hasil Suri Selangor (HaSSeL) di ruang jualan Pusat Wanita Berdaya selepas merasmikan Pelancaran Wanita Berdaya Selangor dan Perasmian Ekspo HaSSel di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Berdaya kemahiran ibu tunggal, mudah jana pendapatan

SHAH ALAM, 25 NOV: Pembangunan ekonomi wanita khususnya ibu tunggal antara perkara yang harus diberi perhatian dalam Belanjawan #Selangor2022 yang dibentangkan esok.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama berkata peruntukan terperinci perlu disalurkan buat golongan itu untuk meningkatkan kemahiran sekali gus menambah pendapatan mereka.

Menurut Jamaliah Jamaluddin, mereka dikesan berpotensi tinggi dalam perniagaan berdasarkan pengalaman berbincang bersama badan bukan kerajaan (NGO).

ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin

“Mereka berusaha untuk memastikan keadaan keluarga terjamin, jadi kita perlu fokus memberdaya kemahiran mereka supaya lebih senang mendapat kerja atau menjana pendapatan,” katanya.

Bercakap dalam Bual Bicara Selangor#2022: Apa Kata ADN? yang disiarkan di Facebook Media Selangor, beliau berkata negeri juga boleh memberi dana untuk menganjurkan program mencungkil potensi wanita.

“Banyak kemahiran yang masih boleh dilatih kerajaan seperti kemahiran berkomunikasi dan pembentangan yang meningkatkan pemberdayaan wanita,” kata Jamaliah.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor esok menumpukan usaha merancakkan semula ekonomi bagi membantu rakyat pascapandemik.

Turut ditekankan ialah menambah hasil dan bantuan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Pembentangan boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor.


Pengarang :