AGENDANASIONAL

Cadangan gabung KEADILAN, Amanah mampu lonjak sokongan rakyat

SHAH ALAM, 30 NOV: Cadangan untuk menggabungkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Parti Amanah Negara (Amanah) wajar diteliti serta dipertimbang pemimpin kedua-dua parti itu.

Bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor Mohd Najwan Halimi berkata kedua-dua parti memiliki citra politik sama iaitu mengangkat agenda reformasi, mendukung prinsip keadilan sosial serta membela hak dan kebajikan rakyat.

“Penggabungan Amanah ke dalam KEADILAN melonjakkan dukungan serta membina keyakinan rakyat khususnya pengundi Melayu di luar bandar dalam dalam pilihan raya umum akan datang.

“Penggabungan akan menguatkan jentera akar umbi serta menyelesaikan isu pembahagian kerusi pilihan raya yang selama ini menjadi cabaran kedua-dua pihak,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Najwan berkata penggabungan mewujudkan ruang kepada pimpinan serta anggota Amanah untuk memperkukuh struktur kepimpinan KEADILAN yang mengalami vakum di peringkat pusat, negeri dan cabang sejak Langkah Sheraton.

Jelas Najwan yang juga Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, penggabungan parti bukan perkara baharu di negara ini.

“Sejarah merakamkan penggabungan beberapa buah parti politik menjadi sebuah entiti misalnya Parti Rakyat Malaysia ke dalam Parti Keadilan Nasional pada 2003 dan juga gabungan Semangat 46 ke dalam Umno pada 1996,” katanya.

Pada Sabtu penganalisis politik Wong Chin Huat mencadangkan penggabungan kedua-dua parti itu selepas keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka tidak memihak Pakatan Harapan (HARAPAN).

 


Pengarang :