Dr Siti Mariah Mahmud
AGENDANASIONAL

EXCO: Tiada kes taun baharu dilapor, pemantauan diteruskan

SHAH ALAM, 22 NOV: Tiada kes taun atau kolera baharu dilaporkan di Selangor setakat ini namun langkah pemantauan masih diteruskan dengan ujian segera dilakukan kepada pesakit yang mengalami cirit-birit, muntah dan demam bagi mengesan penyakit itu.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata hanya satu kes dilaporkan pada 21 Okt lepas dan pesakit tersebut kini telah sembuh sepenuhnya.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah melakukan ujian pengesanan di semua lokasi yang terlibat dan semua ujian tersebut adalah negatif. Alhamdulillah, tiada kes tambahan dan kes kini kosong jadi kami tidaklah kata ia sebagai epidemik.

“Jadi insya-Allah, boleh (dikatakan Selangor bebas taun) namun kami masih memantau mana-mana kes cirit-birit, muntah dan demam yang dilaporkan di klinik awam atau swasta, secara automatik ujian akan dilakukan ke atas pesakit untuk mengesan risiko jangkitan taun,” katanya pada pemberita selepas merasmikan talian hotline keganasan rumah tangga, SELamat di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengenai kes Covid-19 di Selangor beliau berkata data terkini menunjukkan terdapat sedikit peningkatan dan dikhuatiri trend tersebut akan terus meningkat.

Menurut beliau perkara itu berlaku kerana tahap imunisasi kebanyakan penerima vaksin semakin menurun memandangkan program vaksinasi itu telah bermula sejak Mac lepas dan menggalakkan orang ramai untuk mengambil dos penggalak.

“Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM10 juta untuk memantau mereka yang dikuarantin di rumah melalui sistem di aplikasi SELangkah dan kami mahu kesan dan rawat pesakit awal kerana tidak mahu ada kematian di luar hospital (BID) dan sebagainya kerana virus itu masih ada di sekeliling kita,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :