Selangorkini
Pemain skuasy remaja negara Aifa Azman pada perlawanan Terbuka Malaysia 2021 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil pada 27 November 2021. Foto Facebook Team Malaysia
AGENDA SUKANKINI

Pemain skuasy remaja muncul juara Terbuka Malaysia 2021

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Kisah dongeng pemain skuasy remaja negara Aifa Azman di Terbuka Malaysia 2021 menjadi realiti apabila menundukkan pilihan utama dari Mesir Salma Hany di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil hari ini.

Aifa yang layak beraksi dalam kejohanan berkenaan melalui tiket wildcard tidak menghalangnya untuk menewaskan pemain di ranking kelapan dunia 12-10, 11-8, 11-4.

Pada awalnya, Hany dilihat menguasai perlawanan apabila mendahului set pertama 9-4, sebelum pemain berusia 19 tahun bangkit menyamakan kedudukan 9-9 sebelum menamatkan set pertama 12-10.

Aifa yang menduduki ranking ke-69 ternyata lebih bersedia pada set kedua untuk menang 11-8.

Pada set ketiga, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu terus menguasai permainan untuk memastikan gelaran sulungnya di kejohanan berstatus gangsa dalam Jelajah Dunia PSA dengan kemenangan 11-4.

Terdahulu, Aifa mencuri perhatian pada kejohanan kali ini apabila mengejutkan tiga pemain Mesir yang menduduki ranking lebih tinggi – Mayar Hany (ranking ke-47), Yathreb Adel (ranking ke-31) dan Hana Ramadhan (ranking ke-35) serta pemain pilihan kelima dari Kanada Danielle Letourneau sebelum mara ke final.

Aifa ketika ditemui selepas perlawanan berkata rentak permainannya seperti tidak menjadi pada awal set pertama sebelum menemukan rentak dan kekal fokus dalam permainan.

“Saya rasa luar biasa di atas kemenangan ini terutama selepas status saya selaku pemain wildcard dan apa lebih menarik, saya berjaya menewaskan seorang daripada pemain yang berada dalam kelompok terbaik dunia,” katanya kepada pemberita.

Mengenai misi seterusnya, Aifa yang menjadikan Datuk Nicol David sebagai idolanya berkata beliau mahu berlatih dengan lebih keras untuk memperbaiki ranking dunia pada masa depan.

Pada masa sama, beliau terus memberi fokus untuk membantu rakan sepasukan di Kejohanan Berpasukan Asia yang dijadual berlangsung pada 30 Nov hingga pada 4 Dis di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, pemain pilihan utama Miguel Rodriguez dari Colombia terpaksa akur apabila tewas kepada pemain India Saurav Ghosal dalam aksi final perseorangan lelaki.

Ghosal yang diletakkan sebagai pilihan kedua bagaimanapun memerlukan 55 minit sebelum berjaya menundukkan Rodriguez 11-7, 11-8, 13-11.

Bagi pemain berusia 35 tahun itu, kemenangan hari ini adalah istimewa kerana beliau sering beranggapan Rodriguez adalah lawan yang sukar dikalahkan.

“Satu perlawanan yang sukar, Rodriguez adalah pemain terbaik yang berkualiti, bagus dan padu sepanjang perlawanan. Saya tahu saya perlu lebih baik untuk berdepan dengannya hari ini dan saya cuba sedaya upaya mengikut perancangan dan saya gembira muncul juara hari ini,” katanya.

Ghosal turut mendedikasi kemenangan hari ini buat bekas jurulatihnya mendiang Malcolm Willstrop yang meninggal dunia pada Mei lepas, iaitu individu yang memainkan peranan besar dalam kejayaannya hari ini.

Juara Terbuka Malaysia masing-masing (lelaki dan wanita) membawa pulang wang hadiah kemenangan AS$50,000 (kira-kira RM200,000) dan trofi.

-BERNAMA


Pengarang :