Orang awam berjoging di Taman Tasek Ampang Hilir, Kuala Lumpur pada 17 Jun 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas kerajaan membenarkan aktiviti riadah di taman awam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat digesa amal gaya hidup sihat, kurangkan pengambilan gula

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Rakyat Malaysia digesa mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula dalam diet masing-masing, memandangkan penyakit kencing manis dan ‘budaya gula’ kini semakin menjadi norma biasa dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penyakit kencing manis atau diabetes adalah antara masalah utama di Malaysia, dengan satu daripada lima orang dewasa dalam negara mengalami penyakit berkenaan dengan risiko komplikasi serius.

Beliau berkata menurut data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah meningkat daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 13.4 peratus pada 2015, manakala pada 2019 ia berjumlah 18.3 peratus atau melibatkan 3.9 juta daripada populasi dewasa.

“Diabetes menjejaskan tubuh badan kita, melibatkan mata, buah pinggang, dan juga sistem saraf, disusuli dengan komplikasi lain seperti tekanan darah tinggi dan serangan jantung. Ia adalah ‘resipi’ kepada penyakit yang kini menjadi pembunuh nombor satu di Malaysia,” katanya semasa berucap di Forum Hari Diabetes Sedunia 2021 yang dianjurkan secara maya dengan tema ‘Access to Diabetes Care in a century of insulin discovery,’ di sini semalam.

Turut hadir sebagai panel forum ialah Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha, dan Ketua Unit Endokrin Hospital Putrajaya, Datuk Dr Zanariah Hussein

Dr Feisul berkata kerajaan sedar dengan isu ini, dan telah membangunkan strategi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan usaha memerangi penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, serangan jantung dan kanser.

“Dengan meningkatkan program kesedaran serta usaha saringan di samping inisiatif dan dasar peringkat makro, kementerian berharap dasar lain seperti lanjutan cukai gula yang diumumkan dalam Bajet 2022 dapat membantu rakyat Malaysia menguruskan pengambilan tinggi minuman manis semasa dengan lebih baik, ” katanya.

Sementara itu Dr Zanariah yang juga pakar perubatan perunding dan ahli endokrinologi berkata, beliau tidak sabar-sabar untuk melihat lebih banyak perkembangan yang membolehkan doktor memberikan penjagaan yang lebih baik kepada penghidap diabetes.

“Kita telah melangkah jauh sejak penemuan insulin, tetapi rawatan dan pengurusan diabetes akan melihat satu set cabaran yang berbeza, terutamanya dalam dunia pasca pandemik. Daripada menggunakan pendekatan bersepadu dalam penjagaan kepada meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam penglibatan kita dengan pesakit, kita berharap untuk melihat lebih banyak perkembangan,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :