Selangorkini
Borhan Aman Shah (tengah) menerima wau kapal Selangor yang dihasilkan Muskhan Kastudi (kiri) pada program Kita ke Kampung Edisi Kraf di Kampung Sungai Buaya, Kuala Langat pada 19 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Wau kapal bakal diangkat wau rasmi Selangor

SHAH ALAM, 25 NOV: Wau kapal yang melambangkan identiti Selangor bakal diangkat sebagai wau rasmi negeri ini, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata permainan itu yang kaya dengan tradisi wajar diingati masyarakat terutama belia apatah lagi ia dimainkan sejak turun-temurun.

“Seperti wau bulan yang sinonim dengan Kelantan, kita juga mahu mengkomersialkan wau kapal supaya lebih dikenali di Selangor dan tidak lenyap ditelan zaman.

“Kita akan angkat wau kapal untuk dijadikan wau rasmi dan kekal sebagai wadah budaya bangsa selain dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Selangorkini.

Wakil rakyat Tanjung Sepat berkata pertandingan wau kapal peringkat negeri akan dianjurkan secara besar-besaran tahun depan bagi mempopularkan permainan itu.

Borhan menjelaskan cadangan itu susulan pertandingan Wau Tegak Lajak Kapal Selangor anjuran Dewan Undangan Negerinya (DUN), baru-baru ini menerima lebih 800 penyertaan.

“Selain melibatkan peserta masyarakat setempat, kita juga menerima banyak penyertaan dari daerah lain seperti Klang dan Shah Alam,” katanya lagi.


Pengarang :