Kenderaan yang terkandas ketika banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

12 ditemukan mati di Sri Muda, empat belum dikenal pasti

SHAH ALAM, 21 DIS: Empat lagi kematian dicatatkan di kawasan banjir Taman Sri Muda hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang ditemukan setakat ini adalah 12 terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita setakat 7 malam ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan hari ini berkata identiti empat mangsa itu, masing-masing dua lelaki dan dua wanita belum dikenal pasti.

“Mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata seramai 31 orang ditahan susulan insiden pecah dan ceroboh kedai serbaneka di kawasan Taman Sri Muda, semalam.

Beliau berkata mereka terdiri daripada 10 rakyat Indonesia, tujuh Bangladesh, sembilan Nepal dan lima Myanmar dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“IPD Shah Alam juga meletakkan elemen pencegahan jenayah di semua kawasan yang terjejas banjir dan polis menyeru serta menasihati orang ramai di kawasan yang terjejas banjir agar tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, dua Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) disediakan iaitu PKTK 1 di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan PKTK 2, Taman Kemuning Utama, Seksyen 33 di sini.

-BERNAMA


Pengarang :