Tiga beradik membersihkan kebun cili bapanya yang musnah dalam kejadian banjir di Kampung Seri Tanjung Tujuh, Dengkil, Sepang pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Banjir: Jumlah mangsa di lima negeri menurun

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) — Sebanyak 28,005 mangsa banjir daripada 8,598 keluarga masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri pagi ini berbanding 33,193 mangsa malam tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 183 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Di SELANGOR, aplikasi itu menunjukkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 11,864 mangsa daripada 3,521 keluarga yang ditempatkan di 61 PPS pagi ini, berbanding 15,354 mangsa di 81 PPS malam tadi.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor turut menasihati masyarakat supaya tidak membakar sisa buangan banjir mereka.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata ia susulan semalam pihaknya telah mendapat panggilan untuk memadam kebakaran melibatkan sampah dan perabot rosak pada 5.50 petang dan setakat ini dua kes direkodkan berlaku sekitar Kapar, Klang.

Di PAHANG, 16,579 mangsa banjir masih berada di 119 pusat pemindahan sementara pagi ini berbanding 17,211 orang malam tadi.

Daerah yang masih terjejas ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, beberapa sungai yang direkodkan pada paras bahaya sejak beberapa hari lepas seperti Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Bera di Bera kini berada di paras amaran dengan trend menurun.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan hujan di sesetengah kawasan  di Kuantan dan Pekan pagi ini, manakala di daerah lain cuaca baik.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan dengan 378 orang daripada 127 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 470 orang daripada 153 keluarga semalam, melibatkan dua PPS yang dibuka di Jajahan Pasir Mas.

Dua PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, dan hanya satu sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat pukul 8 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan mangsa.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu menunjukkan penurunan kepada 128 individu daripada 37 keluarga berbanding semalam 132 mangsa daripada 38 keluarga.

Katanya tiga PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini.

— BERNAMA

 


Pengarang :