Situasi banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bot EXCO selamatkan wanita hamil terkandas di Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 21 DIS: Bantuan bot EXCO infrastruktur berjaya membawa keluar warga emas, kanak-kanak dan wanita mengandung yang terkandas akibat banjir di Taman Sri Muda semalam.

Ir Izham Hashim berkata beliau juga segera menyediakan 1,000 pek makanan siap dimakan untuk diagih kepada semua penduduk Seksyen 24 dan Taman Sri Muda yang terjejas dalam bencana itu.

“Ketika saya tiba di Sri Muda, ada seorang wanita minta tolong untuk keluarkan ayah dan anak saudara beliau berumur dua tahun yang terkandas di rumah sejak hari Sabtu.

“Ketika sedang membantu keluarga wanita tersebut, saya dapat makluman ada jiran beliau yang sedang sarat mengandung juga terkandas di rumah. Saya ambil keputusan untuk segera keluarkan ibu mengandung dari kawasan Sri Muda,”katanya di Facebook.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze pula menyumbangkan alat ujian kendiri dan pelitup muka kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Darul Ehsan.

“SOP (tatacara operasi piawai) di sini cukup memuaskan hati – setiap orang perlu disaring sebelum ditempatkan.

“Butir-butir mangsa direkodkan dengan rapi. Pejabat saya dan MPP Zon 1 bawah pimpinan Ahli Majlis Ken Chia telah menyumbang test kit. Pejabat saya juga bekal pelitup muka dan sumbangan RM5000,”katanya.

Wakil rakyat Kota Anggerik Najwan Halimi pula mengagihkan 150 pek makan malam dan air mineral kepada penduduk Taman Mutiara Bukit Raja, Klang yang terjejas akibat banjir.

“Walaupun hujan telah berhenti, namun air banjir masih belum surut sepenuhnya,”katanya semalam.


Pengarang :