Ng Sze Han (tengah) memotong reben sebagai gimik merasmikan medan selera pekan Bestari Jaya di Kuala Selangor pada 17 Disember 2021. Foto MAJLIS PERBANDARAN KUALA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemberian lesen niaga sementara dilanjut, bantu golongan terkesan pandemik

KUALA SELANGOR, 17 DIS: Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil untuk enam bulan lagi sehingga Jun tahun depan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata inisiatif itu sepatutnya tamat bulan ini namun diteruskan untuk membantu individu ingin berniaga kerana terkesan pandemik Covid-19.

“Semoga langkah diambil Kerajaan Negeri akan memberi kelegaan buat peniaga kecil kita,” katanya mengumumkan perkara itu ketika berucap merasmikan medan selera Pekan Bestari Jaya di sini, hari ini.

Sze Han berkata inisiatif itu membuktikan Kerajaan Selangor memahami kesukaran individu terkesan akibat Covid-19 yang berniaga secara kecil-kecilan bagi meneruskan kehidupan.

“Di Selangor, kita ada hampir 200,000 peniaga kecil dan sederhana. Jika kita tidak bantu rakyat dan peniaga, kesan sosioekonomi kepada masyarakat sangat besar.

“Oleh itu, tahun lalu Kerajaan Negeri setuju agar lesen sementara diberikan kepada rakyat yang mahu berniaga dan menjaja di kawasan awam dengan syarat tidak mendatangkan kacau ganggu,” katanya.

Pada 3 Julai, Sze Han memaklumkan sebanyak 8,386 lesen sementara dikeluarkan antara Ogos tahun lalu hingga April tahun ini bagi memudahkan individu terkesan Covid-19 menjalankan perniagaan.

Pemberian lesen sementara kepada peniaga tidak berlesen bermula sejak Ogos tahun lalu dengan bermula daripada Majlis Bandaraya Shah Alam.

Pihak berkuasa tempatan perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

 


Pengarang :