Selangorkini
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad ketika sidang media di Perpustakaan Tun Raja Uda, Shah Alam pada 12 November 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesta Buku Selangor tampil enam sasterawan negara

SHAH ALAM, 1 DIS: Pesta Buku Selangor 2021 menampilkan enam sasterawan negara sepanjang program itu berlangsung mulai 2 hingga 12 Disember depan.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad berkata usaha itu adalah sebahagian daripada menghargai sasterawan negara.

“Dengan bertemakan hati dan minda, kita jemput sasterawan negara ini untuk berkongsi dan mengetahui bagaimana pemikiran mereka. Selain itu, kita juga akan mengusahakan memanggil semua pengarah perpustakaan negeri lain.

“Ini supaya masyarakat tahu ke mana hala tuju perpustakaan dan sasterawan negara serta mereka boleh berkongsi idea dan pendapat. Sudah tiba masanya kita menghargai individu berilmu,” katanya.

Beliau berkata pada program bual bicara secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.

Enam sasterawan negara itu, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Seri A. Samad Said, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Baha Zain, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Dr Zurinah Hassan disertai beberapa panelis lain akan tampil dalam program bual bicara ‘Hati dan Minda Sasterawan’.

Tambah Mastura, pesta buku kali ini juga menganjurkan Selangor International Children Content secara dalam talian pada 2 hingga 4 Disember.

“Ini adalah usaha kita ini ke arah pesta buku ke peringkat antarabangsa dan ia melibatkan penceramah dan pembentang dari Filipina, Europe, Indonesia.

“Malah, program ini bukan sekadar pesta buku kerana terdapat juga gerai-gerai jualan seperti makanan dan pakaian. Kita menempatkan peniaga-peniaga dalam bantu mereka menjana pendapatan,” katanya.

Pesta Buku Selangor 2021 berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini mulai 2 hingga 12 Disember depan menawarkan lebih 200,000 buku dari dalam dan luar negara.


Pengarang :