Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sedia dua agenda digital pendidikan ketika pandemik

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerajaan Negeri menyediakan dua agenda pendigitalan sektor pendidikan bagi memudahkan pembelajaran sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin berkata program e-pembelajaran Selangor Tutor dimulakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu dan diikuti Data Internet Selangor.

“Inisiatif ini disasarkan untuk membantu golongan B40 dan M40 dengan menyediakan sambungan internet mudah alih mampu milik yang dipakejkan dengan solusi pembelajaran yang digunakan oleh golongan sasaran secara produktif.

“Inisiatif ini juga dapat meningkatkan akses sumber pendidikan dalam talian sebagai salah satu norma baharu dalam sektor pendidikan,” katanya.

Amirudin yang juga pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2019/2020 secara maya hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 tajaan yayasan itu yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang di sebalik kekangan pandemik Covid-19.

“Walaupun hadapi pelbagai kekangan pembelajaran disebabkan pandemik mereka masih mampu berjuang, mengadaptasi dengan krisis dan mencapai kecemerlangan.

“Ini membuktikan murid mempunyai semangat dan daya juang yang tinggi, ini adalah ramuan untuk mereka hadapi perjuangan di masa hadapan,” katanya lagi.

Pada Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh PKP yang mendapat sambutan menggalakkan.

Pada 4 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad SIM dan data internet percuma selama 12 bulan dengan peruntukan RM17.5 juta.


Pengarang :