Kereta terkandas akibat banjir di stesen minyak ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Proton beri diskaun 50 peratus selenggara kenderaan mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 30 DIs: Proton menawarkan pakej bantuan pelanggan yang dipertingkat bagi meringankan beban kewangan mereka untuk membaiki kenderaan yang rosak akibat banjir menerusi diskaun 50 peratus bagi alat ganti terpilih untuk semua model kecuali Proton X50 dan Proton X70.

Dalam kenyataan hari ini, Proton berkata pakej baharu dan ditambah baik itu turut merangkumi servis tunda serta pembersihan luar dan ruang enjin secara percuma, selain diskaun caj buruh yang ditingkatkan kepada 25 peratus untuk semua model kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata sehingga kini, pusat servis Proton telah menerima kira-kira 600 kenderaan dan lebih banyak kenderaan dijangka tiba pada hari dan minggu akan datang.

“Proton amat bersimpati dengan nasib mangsa banjir baru-baru ini berikutan kebanyakannya terdiri daripada kumpulan B40. Sehubungan itu, kami telah meningkatkan lagi pakej bantuan untuk meringankan beban kewangan mereka,” katanya.

Bagi pemilik Proton X50 dan Proton X70, diskaun untuk alat ganti terpilih telah dinaikkan kepada 25 peratus berbanding 20 peratus seperti diumumkan sebelum ini.

Pelanggan yang diinsuranskan bawah Program Insurans Proton layak menerima bayaran bantuan banjir sebanyak RM1,000. Tawaran bantuan ini boleh didapati daripada pengedar 3S/4S Proton terpilih dan tertakluk kepada terma dan syarat.

“Selain pakej bantuan, Proton juga akan berunding dengan pihak bank untuk membenarkan pelanggan membuat bayaran secara ansuran melalui kad kredit bagi pembayaran bil. Ini akan membantu dari segi aliran tunai mereka kerana tidak dikenakan bayaran faedah dan tidak perlu membuat bayaran penuh secara sekali gus,” katanya.

Pada 22 Dis lepas, Proton dalam kenyataan mengumumkan bantuan kepada semua pemilik model Proton yang mengalami kerosakan kereta akibat banjir baru-baru ini dengan menawarkan diskaun 20 peratus bagi alat ganti tertentu serta diskaun 20 peratus untuk caj buruh kepada pelanggan yang telah membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Dalam kenyataan itu juga, syarikat pengeluar kereta itu berkata ia akan menanggung caj tunda sehingga RM200 dan caj pembersihan bahagian luar serta ruang enjin sebanyak RM100.

Pelanggan boleh menghubungi talian pelanggan Proton di 1-800-88-8398 untuk keterangan lanjut.

-BERNAMA


Pengarang :