Penghantar barangan Seldec mengangkat beg selepas pelancaran portal Rantaian e-Bekalan Digital Selangor dan aplikasi Seldec Rider di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Seldec perluas khidmat penghantaran ke seluruh negara

SHAH ALAM, 7 DIS: Penghantaran produk usahawan melalui Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) diperluas ke seluruh Malaysia berikutan sambutan baik orang ramai.

EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif itu dibuat bersama syarikat logistik tempatan seperti Pos Laju, Line Clear dan Logistika.

Beliau berkata seramai 1,200 peniaga berdaftar dengan lebih 8,000 produk dijual melalui platform tersebut sejak dilancarkan pada Oktober 2019.

“Dalam platform Seldec, terdapat produk segar seperti ikan, ayam, daging, sayur dan buah-buahan, makanan sejuk beku,sedia dimakan, produk kering dan pelbagai lagi.

“Produk ini terdiri daripada perusahaan mikro kecil dan sederhana,” katanya mengulas keberkesanan program Seldec pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Chang Khim berkata inisiatif dalam talian itu turut merangkumi kerjasama Smart Selangor Delivery Unit, Yayasan Hijrah Selangor dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 12 pihak berkuasa tempatan seluruh Selangor terlibat memperkasa program keusahawanan ke arah Ekonomi dan Digital Pintar.


Pengarang :