Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 3 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

55 pelajar di Selangor jadi yatim akibat Covid-19

SHAH ALAM, 7 DIS: Seramai 55 pelajar di negeri ini kehilangan ibu dan bapa akibat Covid-19 bagi tempoh Januari 2020 sehingga September lalu, kata EXCO kebajikan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Hulu Langat, Klang dan Petaling Perdana antara daerah yang mempunyai jumlah paling ramai menjadi anak yatim dan piatu akibat Covid-19.

“Rekod Jabatan Pendidikan Negeri Selangor juga menunjukkan secara keseluruhannya seramai 1,648 pelajarnmenjadi yatim iaitu ibu atau ayah meninggal dunia ekoran wabak tersebut.

“Kerajaan Negeri amat prihatin nasib yang menimpa kanak-kanak kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dan mengambil beberapa langkah sokongan membantu mereka,”katanya.

Siti Mariah menjawab pertanyaan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei mengenai jumlah anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19 di negeri ini pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menurut beliau antara langkah diambil ialah mencari orang yang layak menjaga kanak-kanak itu.

Jika tiada, mereka akan ditempatkan sementara institusi perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Setakat ini, semua kes anak yatim atau yatim piatu akibat Covid-19 di Selangor dijaga oleh waris terdekat masing-masing,”katanya.


Pengarang :