Anggota polis membantu para penumpang dari ketibaan antarabangsa untuk membuat pemeriksaan kesihatan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 September 2021. FOTO BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sistem pintu automatik imigresen dihenti serta-merta, kawal pintu masuk negara

PUTRAJAYA, 1 DIS:  Penggunaan sistem ‘autogate’ Jabatan Imigresen diberhentikan sementara berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah mengukuhkan kawalan pintu masuk antarabangsa susulan penularan varian membimbangkan baharu, Omicron.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata langkah itu membolehkan pegawai imigresen mengenal pasti sejarah perjalanan penumpang sama ada mereka pernah memasuki negara yang terbabit dengan varian itu.

“Penerbangan dari negara yang melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sahaja dan pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu menyediakan pagar khas bagi penerbangan tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Khairy berkata syarikat penerbangan bertanggungjawab mengenal pasti pengembara dari negara terbabit dan maklumat mereka mesti dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan KLIA untuk memudahkan pengendalian semasa ketibaan.

Menurut Khairy kementerian akan terus menjalankan pemantauan perkembangan varian baharu itu pada setiap masa dan sekiranya langkah-langkah yang lebih ketat diperlukan, pihaknya akan membuat pengumuman apabila keputusan dibuat.

“Langkah-langkah yang saya umumkan tadi sebagai langkah untuk kita perketatkan sempadan negara bersifat sementara sehingga kita mengetahui lebih lanjut mengenai varian membimbangkan ini.

“Sekiranya didapati varian ini tidak mengancam kesihatan awam di Malaysia kita akan melonggarkan balik sekatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :