Selangorkini
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan memakaikan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kepada Norsiati Habuan Hanifah pada Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan Bagi Penerima-Penerima Daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam Dan Sepang sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-75 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

153 individu dari tujuh daerah dikurnia pingat kebesaran Sultan Selangor

SHAH ALAM, 25 JAN: Seramai 153 individu menerima pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-75.

Semua penerima terbabit dari tujuh daerah iaitu Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.

Tiga individu dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) manakala 55 dikurniakan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), 84 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 11 individu pula Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS).

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor mewakili Sultan Selangor berkenan berangkat bagi menyempurnakan istiadat pengurniaan pingat kebesaran di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Keberangkatan Tengku Amir Shah diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim serta EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan memakaikan pingat kepada penerima pada Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan Bagi Penerima-Penerima Daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam Dan Sepang sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-75 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

PPT dianugerah kepada individu yang melakukan sesuatu perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya manakala PPC terdiri pegawai kerajaan dalam kumpulan sokongan yang sedang atau berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun bersama Kerajaan Negeri dengan cemerlang serta mempunyai kelakuan terpuji.

PJK pula dianugerahkan kepada individu yang lama berkhidmat dan berjasa untuk Selangor, tekun, taat, mempunyai kebolehan istimewa serta pekerti baik.

Manakala PPS dianugerah kepada individu terdiri kakitangan kerajaan yang sedang atau berkhidmat 20 tahun bersama Kerajaan Selangor dengan kelakuan terpuji.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kanan) berkenan memakaikan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada Siti Asmah Atan pada Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan Bagi Penerima-Penerima Daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam Dan Sepang sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-75 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengurniaan pingat kebesaran bagi 2020 itu tertangguh susulan Covid-19 dan bertujuan menghargai jasa serta sumbangan bakti dicurahkan individu terbabit kepada masyarakat dan negeri.

Semalam seramai 192 individu dari daerah Petaling dan Klang menerima pingat kebesaran sempena sambutan ulang tahun yang sama.

Dua minggu lalu, seramai 354 individu menerima pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-74.


Pengarang :