Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi amanat kepada penjawat awam sempena Tahun Baharu 2022 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz pada 24 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Henti tuding jari isu banjir besar, tumpu baiki kelemahan

SHAH ALAM, 24 JAN: Dato’ Menteri Besar menggesa semua pihak berhenti menuding jari dan menyalahkan antara satu sama lain berhubung insiden banjir di Selangor bulan lalu.

Sebaliknya, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan kelemahan pengurusan bencana di seluruh negara perlu dijadikan iktibar dan diperbetulkan bersama-sama.

“Walaupun ada pihak kritik dia tidak boleh selesaikan masalah (banjir), dia menunjuk oh salah di tempat lain, salah negeri lain salah daerah lain.

“Bila tidak boleh bagi arahan, bukan nak perbetulkan (tetapi) salahkan. Kita (Selangor) ada masalah kita hadap,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata banjir bukan halangan buat Selangor memberikan yang terbaik untuk rakyat dan menggerakkan bantuan yang masih berterusan sehingga hari ini.

“Amaran Jabatan Meteorologi Malaysia pada 18 Disember hujan lebat, masih lagi tidak anggap Selangor kawasan merah. Itu semua faktanya, tetapi pada 19 Disember kita perbetulkan dan laksanakan.

“Sebab itu menjelang 21 Disember sampai sekarang, segala apa yang dirancang pascabanjir iaitu Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjalan dengan baik dan pantas,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.


Pengarang :