Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka melakukan kerja-kerja pengepaman air banjir genang ke sungai berdekatan di Kampung Lanchang Jasin ketika tinjauan pada 11 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Keadaan banjir di Johor, Melaka bertambah baik

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Situasi banjir di Johor dan Melaka semakin baik apabila hanya 1,059 mangsa masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat petang ini.

Di Johor, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 1,044 orang setakat 4 petang berbanding 1,227 orang pada sebelah pagi dengan 23 PPS masih beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata empat daerah masih terjejas banjir dengan Muar merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 526 orang diikuti Segamat (411), Batu Pahat (81) dan Tangkak (26).

“Stesen Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar menunjukkan paras bahaya namun mengalami trend penurunan manakala stesen Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat merekodkan paras amaran namun turut mengalami trend penurunan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata cuaca di seluruh negeri kini dilaporkan cerah termasuk di daerah terjejas banjir.

Vidyananthan juga berkata Jalan Felda Bukit Aping di Kota Tinggi telah ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian tanah runtuh.

Rumah milik Sudin Omar, 66, yang terletak di Kampung Liang Batu, Muar masih digenangi air separas betis walaupun di beberapa kawasan di kampung tersebut telah surut sepenuhnya ketika tinjauan pada 10 Januari 2022. Foto BERNAMA

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata 15 orang daripada lima keluarga masih ditempatkan di satu PPS di Jasin setakat 4 petang tadi.

– BERNAMA


Pengarang :