Pasukan Negeri Sembilan Women’s FC (NSWFC). Foto Facebook Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Negeri Sembilan Women’s, Footsouls mara ke pentas akhir Liga Super Wanita

SHAH ALAM, 18 JAN: Pasukan Negeri Sembilan Women’s FC (NSWFC) dan The Footsouls akan membuat perhitungan di pentas akhir Liga Super Wanita FAS selepas menyingkirkan lawan masing-masing malam tadi.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Radia Arena Bukit Jelutong, NSWFC melakar kemenangan selepas membelasah FC Swat 3-1 melalui jaringan Henrietta Justine, Noor Hartini dan Malini Nordin.

Sementara The Footsouls pula melalui jalan cukup berliku sebelum mengesahkan slot itu apabila terpaksa bertarung hingga ke penentuan penalti selepas terikat 1-1 dengan First 11 FC.

Dalam penentuan penalti, The Footsouls menang menerusi keputusan 6-5.

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November lalu dengan disertai 10 pasukan.

Kejohanan terbahagi kepada dua kumpulan, empat pasukan teratas layak ke pusingan kalah mati manakala perlawanan akhir berlangsung hujung bulan ini di Stadium MBSJ.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga terbabit di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November.


Pengarang :