Selangorkini
Pengarah Urusan KDEB Waste Management Ramli Mohd Tahir bergambar bersama kakitangan selepas meninjau lori terakhir mengangkut sampah pascabanjir di stesen pemindahan sementara sisa pepejal, Seksyen 21, Shah Alam pada 14 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pembersihan fasa dua dilaksana, tumpu usaha basmi kuman di kawasan bekas banjir

SHAH ALAM, 15 JAN:  Pembersihan fasa dua pascabanjir memfokuskan pembasmian kuman selain kerja membersih parit tersumbat, kata pengarah urusan  KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ramli Mohd Tahir berkata usaha membasmi kuman mengikut keadah teknologi efektif mikrobiologi (EM) sebagai langkah mengelak wujud penyakit selepas banjir melanda.

“Pada minggu lalu Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) sudah melihat kerja penyemburan itu di Kampung  Padang Jawa, jadi mulai Isnin ini kita akan perluas lagi di kawasan lain.

“Kita mahu ambil langkah pencegahan yang lebih ketat dengan membuat semburan di kawasan terjejas banjir,” katanya ketika ditemui di stesen pemindahan sementara sisa pepejal, Seksyen 21 di sini, hari ini.

Ramli berkata pihaknya menyasarkan tempoh pembersihan fasa kedua di kawasan terjejas banjir negeri selesai dalam tiga bulan.

Pada 8 Januari, Kerajaan Negeri memperkenal serta memperluaskan kaedah EM bagi mengelak penyakit pascabanjir.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya bukan hanya menumpukan pembersihan secara fizikal tetapi merawat kawasan longgokan sampah dan bekas longgokan di 11 stesen pemindahan sementara.

Amirudin memaklumkan sampah di stesen pemindahan sementara sisa pepejal yang dilonggok lebih 10 hari mungkin meninggalkan bakteria yang boleh membawa penyakit.


Pengarang :