AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengecualian bil air Januari automatik, mangsa banjir tidak perlu memohon

SHAH ALAM, 5 JAN: Pengecualian bil air kepada mangsa banjir diberikan secara automatik dan tidak memerlukan permohonan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengecualian bil air selama sebulan untuk bulan ini adalah bagi meringankan beban mereka.

“Senarai penuh lokasi boleh rujuk di laman rasmi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Semua penduduk yang tinggal di lokasi ditetapkan akan menerima pengecualian tersebut,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Air Selangor memberikan pengecualian bayaran bil air pada Januari ini kepada pengguna akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan pengecualian tersebut merupakan sebahagian daripada program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumumkan Kerajaan Negeri.

Bil air bulanan akan terus dikeluarkan sepanjang tempoh pengecualian bayaran namun pengguna yang layak tidak perlu membayar bagi tempoh dinyatakan.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah lebih dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi pengecualian bayaran bil air selama sebulan kepada akaun terjejas.


Pengarang :